Pin It

Widgets

Iqram Lupakan Dunia Glamor

on Sunday, 7 October 2012

Iqram Lupakan Dunia Glamor

Iqram Lupakan Dunia Glamor | PERNAH suatu ketika, melihat wanita yang tidak menutup aurat pun boleh mendatangkan rasa berdosa buat dirinya. Perasaan yang tiba-tiba melintas itu membuatkan dirinya berasa tidak selesa.

Tidak sekadar didatangi perasaan pelik yang langsung tidak pernah dibayangkan olehnya, pelakon yang popular dengan imej metroseksual itu bagaimanapun mengakui:

"Rasanya imej saya sekarang tidak mendatangkan masalah. Asalkan bersih, kemas dan menutup aurat. Masa mula-mula didatangi perasaan mahu berhijrah dahulu, saya lagi teruk".

"Saya pernah rasa nak muntah bila pakai minyak wangi, tolak ajakan ke acara hiburan. Tengok perempuan tak tutup aurat pun rasa berdosa. Benda-benda begitu juga buat saya jadi takut dan paranoid jika memikirkan saya masih belum belajar untuk kembali kepada fitrah," jelas Iqram Dinzly saat merungkaikan situasi emosinya yang sedang dalam fasa perubahan sejak Ramadan lalu.

Ramadan lalu juga, Iqram pernah menyertai komuniti Fitrah yang ditubuhkan oleh beberapa orang artis lain yang mempunyai misi untuk belajar dan mendalami ilmu agama dengan lebih luas.

Jelas Iqram juga, selama beberapa bulan ini, dia menolak semua tawaran berlakon kecuali membuat penampilan istimewa dalam drama episod, Julia yang kini ditayangkan di TV3.

"Sekarang saya cuma terlibat dengan Jalan-Jalan Cari Makan. Saya terlibat dalam Julia pun hanya untuk dua hari penggambaran sahaja di Korea. Selebihnya saya hanya tolong-tolong bahagian penerbitan.

"Lepas pulang dari Korea, barulah saya dapat rasa semula Iqram Dinzly yang dahulu, tapi masih keliru dan masih banyak benda yang saya perlu belajar. Pernah sewaktu bulan puasa lalu saya berhasrat untuk berhenti daripada bidang lakonan," katanya.

Secara sedar, Iqram menyifatkan peralihan kerohanian yang sedang berlaku terhadap dirinya seiring dengan peningkatan usia.

"Setiap orang ada zaman hitam, zaman nakal dan buat semua perkara ikut perasaan dan hanya memikirkan keseronokan. Saya pernah lalui fasa itu tapi sekarang, walaupun saya cuba untuk berhibur dengan cara pergi ke kelab malam, saya sudah tiada perasaan. Akhirnya baik lepak di luar kelab sahaja," jelas Iqram yang masih mencari jawapan menterjemah kitaran hidupnya ketika ini.

Di sebalik hilang keterujaan untuk bersama rakan-rakan seperti dahulu, Iqram bersyukur kerana nikmat duniawi sebegitu yang ditarik oleh Allah SWT, itu nikmat yang tidak sepatutnya ada dalam diri saya pun. Saya juga tidak kesal kerana semua itu pasti satu pengalaman berguna buat saya."

Tambah Iqram: "Saya tidak mahu bercakap banyak, takut orang salah anggap. Rasanya, apa sahaja yang akan berlaku kepada saya, semuanya akan berperingkat-peringkat. Saya juga terfikir soal jodoh dan serah hal itu kepada ibu bapa saya. Biar mereka cari jodoh yang sesuai untuk saya."

Bercerita panjang soal gaya hidup yang semakin tenang ketika ini, Iqram baru sahaja dilantik sebagai ikon pelancongan Korea Winter Ski & Menjejak Lokasi-Lokasi Hebat Drama Korea anjuran Safirgotravel.com, Selasa lalu.

Pengarah Jualan dan Pemasaran Safirgotravel.com, Muhamad Abd. Latif menjelaskan, pemilihan Iqram sebagai ikon pakej dibuat berdasarkan keselesaan bekerjasama dan sikap peramah Iqram sendiri.

"Ini adalah kali kedua Iqram dipilih untuk mengikuti pakej pelancongan kami. Tahun lepas, Iqram jadi duta pakej kami ke Turki.

"Kami berpuas hati dengan sikapnya yang peramah dan rajin melayan kerenah delegasi yang lain. Dia bukan jenis sombong atau buat hal sendiri. Jadi, kami fikir kenapa tidak dia diberi peluang sekali lagi," kata Muhamad berharap penampilan Iqram yang menambah nilai pakej yang bernilai RM4,299 hingga RM4,968 untuk seorang itu.

Mengulas pelantikan itu, Iqram sendiri berasa agak terkejut bagaimanapun gembira kerana masih diberi kepercayaan pihak agensi pelancongan terbabit.

"Saya pun baru sahaja diberitahu tentang perkara ini. Sebenarnya ia agak mengujakan sebab ia bakal jadi percutian pertama saya lokasi bersalji. Saya ke Korea untuk Julia pun sewaktu musim panas. Apa yang boleh saya lakukan ialah mengajak dan mempromosikan pakej itu seluas-luasnya menerusi Twitter dan Facebook kepada peminat saya," beritahu Iqram berhubung percutian ke lebih 15 lokasi hebat di Korea Selatan menjelang 5 hingga 10 Disember nanti.

Antara lokasi yang bakal dilawati dalam pakej terhad untuk 60 orang itu termasuklah Incheon, Pulau Nami, Petite France dan Sungai Han, Ski Resort, Menara Seoul dan Muzium Teddy Bear.

sumber 


Ranking: 5

{ 0 ulasan... read them below or add one }

Post a Comment

Terima kasih kerana memberi komen. Sila datang kembali ya !

Kami akan cuba membalas komen anda secepat yang mungkin.

 
© BLOG BUDAK BAEK All Rights Reserved