Hukum Bersanding Dalam Islam | Jika majlis persandingan tersebut dibuat secara tertutup di hadapan keluarga terdekat atau mahram, ia diharuskan. Ini kerana ada di antara adat yang masih boleh dipulihkan mengikut acuan Islam atau memenuhi tuntutan syarak. Tujuan asal majlis bersanding dalam majlis perkahwinan ini ialah untuk memperkenalkan pengantin yang bergelar raja sehari kepada orang ramai.
Memang seharusnya mereka diperkenalkan sebagai pasangan suami isteri. Lebih-lebih lagi kebanyakan tetamu yang datang ke majlis walimah itu adalah bertujuan melihat dan menatap wajah pasangan raja sehari.
Namun di dalam majlis perkahwinan yang penuh kemeriahan dan bersejarah perlu di pastikan agar syariat Islam tidak tenggelam dalam lautan kegembiraan.
Persoalan yang sangat penting dalam bersanding ialah dari manakah asalnya budaya bersanding; adakah ia budaya masyarakat melayu atau budaya masyarakat lain.
Sepanjang pemerhatian, saya dapati budaya bersanding di Malaysia asal usulnya adalah dari budaya masyarakat India. Sekiranya masyarakat Melayu masih mahu berpegang kepada adat maka perlu pastikan adat itu tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Justeru, apa jua bentuk upacara majlis persandingan boleh diadakan tetapi dengan syarat persandingan itu hanya dikhaskan untuk ahli keluarga yang mahram sahaja.
Tiada percampuran iaitu pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Tiada pembaziran dan tiada aktiviti-aktiviti yang melalaikan. Apatah lagi jika mengabaikan perintah Allah SWT dengan meninggalkan solat atas alasan sibuk melayan para tamu yang hadir.
Disebabkan manusia tidak mengambil berat terhadap syariat maka hilangnya keberkatan dalam sebuah perkahwinan. Ini kerana manusia lebih ghairah menggembirakan orang ramai dan tidak menggembirakan Allah SWT.
Itulah masalahnya; manusia hanya akan mencari Allah SWT ketika ditimpa duka dan dalam keadaan terhimpit; dan melupai-Nya sewaktu dia senang dan gembira.
Hukum Adat Merenjis
Adat merenjis jika ia dilakukan dengan kepercayaan untuk menghindarkan pasangan pengantin daripada nasib buruk atau gangguan makhluk halus, ia tidak ubah seperti mengikuti adat masyarakat Hindu. Ia adalah diharamkan.
Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka“. (Hadis sahih riwayat Abu Dawud).
Dalam hadis lain yang dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad, Ibn Umar r.a juga berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku diutus dengan pedang menjelang hari kiamat, sehingga (orang-orang bukan Islam) menyembah Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, dijadikan rezeki dibawah bayangan tombakku, dan dijadikan hina dan rendah bagi sesiapa saja yang berselisihan dengan urusanku. Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka”. (Musnad Ahmad)
Dua hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita mengenai larangan Islam kepada umat Islam supaya tidak mencontohi atau meniru adat dan amalan masyarakat yang lain selain dari Islam.
Namun begitu, jika ia dilakukan dengan niat semata-mata untuk meriah dan menyerikan lagi majlis perkahwinan tersebut tanpa disertai oleh sebarang niat yang lain, maka ia diharuskan.
Walau bagaimanapun, terdapat sesetengah pihak yang melarang mengamalkan adat tersebut dengan alasan ia bukan dari budaya Islam.
Memang benar, panel turut mengakuinya. Namun, Islam tidak melarang sebarang adat tempatan dan budaya sesuatu tempat selagi mana adat dan budaya tersebut tidak mengandungi unsur-unsur yang diharamkan di dalam Islam.Wallahu ‘Alam.
Sumber: Halaqah
{ 0 ulasan... read them below or add one }
Post a Comment
Terima kasih kerana memberi komen. Sila datang kembali ya !
Kami akan cuba membalas komen anda secepat yang mungkin.