Kos Perkahwinan Menyebabkan Ramai Lelaki Dan Wanita Banyak Membujang | Di Malaysia, trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar tepak menjemput tetapi hari ini ada kad, ada yang pakai emel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk jemput ke majlis perkahwinan. Ke mana pergi adat budaya kita
Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan. Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persedian hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah. Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus?
Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.
Adakah perkahwinan itu majlis kenduri atau majlis akad nikahnya? Adakah kenduri itu wajib diadakan?
Pernikahan adalah akad yang ditetapkan oleh syarak bagi membolehkan seorang lelaki menikmati hubungan kelamin dengan seorang perempuan dan sebaliknya. Perkahwinan adalah satu ibadah dalam Islam sebagaimana dalam surah ar-Rum ayat 21. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud:
- “Nikah adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku”. (riwayat Ibnu Majah)
Perkahwinan menjadi fardu jika seseorang itu yakin bahawa jika dia tidak berkahwin maka dia akan tercebur ke lembah perzinaan. Selain itu, dia juga mampu melunaskan mahar atau mas kahwin, mampu memberi nafkah isteri zahir dan batin. Perkahwinan adalah sunat bagi seorang lelaki normal yang jika tidak berkahwin tidak akan melakukan zina dan dia juga tidak akan menganiaya isterinya jika berkahwin.
Pernikahan adalah makruh bagi sesaorang yang takut atau bimbang jika dia berkahwin dia akan menganiaya isterinya kerana tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi atau perangai yang kasar atau tidak berminat kepada wanita. Perkahwinan adalah haram jika dia yakin dengan perkahwinannya dia akan menzalimi isterinya seperti tidak mampu menanggung nafkahnya atau tidak mampu mengadakan hubungan seks.
Perkahwinan juga bukan sekadar kendurinya saja. Hari ini, orang tidak tanya berapa mahar atau mas kahwin pengantin perempuan kerana ia telah ditetapkan (ikut ketetapan negeri) dan orang mampu mengadakannya. Sebaliknya, tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.
Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal. Memanglah, pasangan mempelai mahu majlis perkahwinan mereka paling istimewa dan unik sebagai tanda cinta mereka. Namun berapa ramai yang tahu bahawa dalam satu majlis perkahwinan, akad nikah itu wajib dilaksanakan kerana ia berlandaskan syarak.
Tanpa akad nikah maka tiadalah majlis perkahwinan. Orang dah kenyang makan dan balik tetapi pengantin belum lagi sah suami isteri kecuali pasangan telah selamat diakad nikahkan. Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan.
Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.
Menurut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Melaka 2002 mas kahwin adalah pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah Hukum Syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syarak, dapat dinilai dengan wang.
Bagi memastikan suatu perkahwinan itu sah berlaku dan memenuhi kehendak hukum syarak, pasangan hendaklah diakadnikahkan oleh wali atau oleh pendaftar dengan kebenaran wali dan disaksikan oleh dua saksi. Pasangan mestilah seorang lelaki dan seorang perempuan dan pengantin lelaki hendaklah membayar mas kahwin kepada pengantin perempuan.
Alangkah mudahnya majlis pernikahan tersebut dan hari ini pasangan telah boleh bernikah dengan mempunyai minimum RM500 kerana jika maharnya RM300, upah nikah dan sedikit yang lain, pasangan boleh diakadnikah dengan selamat. Tentunya ramai yang berkata “tidak mungkin” kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000 (bagi seorang anak gadis yang berkelulusan ijazah pertama tidak termasuk artis, orang kenamaan dan sebagainya).
Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran. Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000.
Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga s akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000. Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.
Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. (Utusan Malaysia melaporkan statistik perceraian yang meningkat dan dan 20peratus yang bercerai baru berkahwin lima tahun.)
Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal. Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi.
Umur minimum tamat ijazah pertama universiti adalah 23-24 tahun dan bagi yang membuat diploma adalah 21 tahun. Bagi yang wanita perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang. Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.
Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin. Memang kos perkahwinan telah naik tetapi itu bukan alasan melewatkan perkahwinan. Ibu bapa perlu ada transformasi pemikiran daripada mahu mengadakan majlis besar-besaran kepada melihat anak berumahtangga tanpa hutang dan memulakan kehidupan rumahtangganya tanpa riba. Tepuk dada tanya selera.
Note: Citer pasal kos perkahwinan amat memeningkan... bagi lelaki... sebanarnya banyak lelaki yang dah ada pilihan hati ataupun pasanagan ... tapi kos yang tinggi ini lah menjadikan beban kepada lelaki untuk berkahwin. bagi wanita jangan lah letak kos tu telalu mahal sangat lah kan mampus lelaki law kos tu terlalu tinggi... jo....
Note: Citer pasal kos perkahwinan amat memeningkan... bagi lelaki... sebanarnya banyak lelaki yang dah ada pilihan hati ataupun pasanagan ... tapi kos yang tinggi ini lah menjadikan beban kepada lelaki untuk berkahwin. bagi wanita jangan lah letak kos tu telalu mahal sangat lah kan mampus lelaki law kos tu terlalu tinggi... jo....
Sumber : Utusan Malaysia
{ 2 ulasan... read them below or add one }
Memang pun. Ikut nafsu ni menyusahkan badan. Tak larat la belanja besar ni. Ada duit tu baik simpan beli tanah dan buat rumah. Beli tanah tanam getah. Boleh jugak menoreh dapat duit. Belajar ilmu agama ada jugak manfaat untuk hari akhirat. Manusia zaman sekarang dah banyak yang melupakan tuntutan agama. Akhir zaman, apa boleh buat... terima je la.
20 November 2012 at 01:51
memang betol.Aku nak kawin pon takde duit. Macamnana? Kos sekarang 50ribu. Mana nak korek duit?
9 October 2013 at 09:42
Post a Comment
Terima kasih kerana memberi komen. Sila datang kembali ya !
Kami akan cuba membalas komen anda secepat yang mungkin.