POPULARITI vokalis band Maroon 5, Adam Levine melonjak dengan begitu pantas. Suara yang unik, wajah yang tampan, kontroversi cinta yang tidak pernah surut dan kemunculannya sebagai mentor dalam program realiti nyanyian popular,The Voice antara sebab saham dirinya melonjak tinggi saat ini.
Namun, sebelum meraih populariti luar biasa sehingga dilabel sebagai King of Pop, kehidupan figura berusia 33 tahun itu tidaklah seindah mana. Jalan menuju kejayaan seperti hari ini tidak mudah buat Levine dan grup yang dianggotainya, Maroon 5.
"Saya pernah bekerja sebagai pelayan di restoran Johnny Rockets, sebelum itu pernah bekerja sebagai pembantu penulis untuk drama Judging Amy dan pernah kecewa apabila album pertama band asal saya, Kara Flowers yang diterbitkan pada 1997 tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.
"Kami berpecah dan membawa haluan masing-masing, tetapi bernasib baik apabila bersatu semula dan kini dapat meraih kejayaan yang dikecapi bersama," ujarnya.
Hari ini, siapa yang tidak kenal dengan Levine atau nama sebenarnya Adam Noah Levine. Kebanyakan lagunya mencipta sensasi yang tersendiri dan dia juga meraih kejayaan apabila setiap lagu duet bersama penyanyi lain menduduki tangga teratas dalam carta lagu popular seluruh dunia.
"Ya, saya suka sukses kerana di sebalik setiap kejayaan akan diiringi dengan wang yang banyak. Saya juga tidak ada masalah dengan duit yang banyak, saya ada cara untuk menikmatinya.
"Bagi seorang bintang rock, koleksi tatu, koleksi motosikal berkuasa tinggi, deretan kereta mewah, berpacaran dengan wanita jelita, itu semuanya sudah saya merasai dan memiliki. Tidak ketinggalan, saya mempunyai sebuah rumah dengan pemandangan luar yang dapat melihat terus tulisan Hollywood di atas bukit. Memang saya cukup bertuah dan saya suka menjadi Adam Levine," selorohnya.
Meskipun album Maroon 5 telah terjual puluhan jutaan unit di seluruh dunia termasuk album keempat yang berjudul Overexposed, dia masih enggan mengubah dirinya seratus peratus.
"Populariti dan wang yang banyak tidak memaksa untuk saya mengubah imej. Saya selesa memakai kasut sniker, baju T, seluar jeans dan gaya rambut yang ringkas. Imej yang sama sejak saya tamat sekolah. Ibu juga mengaku yang saya tidak pernah berubah daripada dahulu sehingga hari ini," ungkapnya.
Berlakon
Selain menyanyi, lelaki yang berasal dari Los Angeles, California itu turut bergelar seorang aktor apabila terlibat dalam filem Can A Song Save Your Life? berganding dengan aktres Keira Knightley serta terbabit dalam drama American Horror Story.
Bukan itu sahaja, kehadiran Levine sebagai mentor dalam The Voice untuk tiga musim berturut-turut telah menaikkan rating program terbitan stesen televisyen NBC.
Empayarnya semakin besar apabila dia bakal melancarkan jenama minyak wanginya sendiri, iaitu 222 pada bulan Mei tahun hadapan.
"Sebenarnya saya tidak pernah terfikir untuk membina empayar, tetapi apa yang saya lakukan sekarang ini hanyalah mencuba sesuatu yang baharu.
"Saya tidak pernah teringin untuk menjadi seorang aktor, tetapi apa salahnya untuk mengambil peluang yang diberikan di depan mata.
"Bagaimanapun, saya tidak pula bermati-matian menjalani uji bakat supaya terpilih, sebaliknya pihak produksi yang terfikir untuk memanggil saya. Kehidupan ada naik dan turunnya, saya cuba untuk mengikuti aliran yang datang dan saya memang bekerja keras untuk memastikan setiap kerja itu berjaya," tuturnya.
Terlibat dalam program The Voice merupakan satu kejutan buat anggota Maroon 5 yang lain kerana Levine bukan jenis individu yang sukakan pertandingan nyanyian.
"Apabila tawaran itu datang, saya hanya dengar suara hati dan ingin lakukannya. Jika Steven Tyler boleh lakukannya (menjadi juri) dalam program American Idol, begitu juga dengan saya.
"Kalau ikutkan, saya memang tidak suka pertandingan realiti nyanyian, tetapi The Voice sangat berbeza kerana terdapat ketelusan sebalik pertandingan ini, bukannya soal rating dan populariti semata-mata. Saya dapat membantu orang mengejar impian dengan cara saya sendiri," ucapnya.
BERSAMA grupnya, Maroon 5, Levine mencipta fenomena menerusi untaian lagu segar dan catchy seperti This Love dan She Will Be Loved
Wanita
Menjadi bintang rock tidak sah jika tidak dikelilingi wanita-wanita jelita. Begitu juga dengan Levine yang pernah bercinta selama dua tahun dengan model kelahiran Rusia, Anne Vyalitsyna.
Levine yang pernah digosip bercinta dengan penyanyi dan mentor program The Voice, Christina Aguilera itu kini dikatakan sedang hangat bercinta dengan Behati Prinsloo, model pakaian dalam jenama tersohor Victoria Secret.
"Orang sekeliling sering salah anggap terhadap saya. Mereka sering sangka yang saya hanyalah seorang penyanyi yang bercinta dengan wanita cantik yang tidak berapa cerdik sebab kekasih saya kebanyakannya merupakan model pakaian renang.
"Saya akan pastikan cinta dan kerjaya berjalan secara seimbang. Saya ingin pastikan orang di luar sana tahu yang saya juga seorang yang cerdik," balasnya.
Bercakap tentang wanita, akuinya, dia cukup bertuah kerana dia seorang lelaki yang cukup memahami wanita, mungkin kerana itu dia tidak pernah mengambil masa yang lama untuk menemui cinta baharu.
"Ibu bapa saya telah bercerai ketika saya berusia tujuh tahun. Sejak itu, setiap hujung minggu saya akan tinggal bersama ibu dan pada hari biasa bersama bapa.
"Di rumah, ibu saya turut mengajak bekas isteri pak cik saya tinggal bersama, sepupu perempuan yang saya anggap seperti adik saya serta abang saya yang diketahui seorang gay.
"Mungkin sebab sudah terbiasa dengan wanita di rumah, saya tidak ada masalah untuk bercakap dengan gadis sejak berusia 15 tahun. Saya cukup memahami apa kehendak dan masalah mereka kerana ibu saya tidak pernah berhenti berkata mengenainya selepas bercerai dengan bapa saya," luahnya.
Mengakui seorang pencinta wanita dan tidak boleh hidup tanpa wanita di sisinya, ujar Levine, setiap kali bercinta dia pasti serius dan menyayangi wanita itu setulus hatinya.
"Kalau anda sayangkan seorang wanita jangan malu untuk tunjukkan perasaan itu, saya jenis lelaki yang tidak malu untuk luahkan perasaan jika saya benar-benar mencintai seorang wanita.
"Buat masa ini saya sukakan kehidupan dan pekerjaan saya. Lakukan perkara yang saya suka bersama orang-orang yang saya sayangi serta dapat bersama dengan orang yang dicintai. Itu sahaja yang saya inginkan," tuturnya.
Sumber : Kosmo
{ 0 ulasan... read them below or add one }
Post a Comment
Terima kasih kerana memberi komen. Sila datang kembali ya !
Kami akan cuba membalas komen anda secepat yang mungkin.