Pin It

Widgets

Ketahui Prosedur Tentang Cinta

on Saturday, 25 August 2012

Ketahui Prosedur Tentang Cinta

Ketahui Prosedur Tentang Cinta | Pernah dulu abah memberikan jawapan setelah aku mengajukan soalan tentang bicara 'peneman hidup'. "Bila-bila pun boleh, janji dah bersedia segala-galanya." Hari ini ummi pula menambah dengan gayanya seakan sama, "terpulanglah, kalau abang ada duit dan dah bersedia..bila-bila masa pun ummi terima."

Alhamdulillah. Jawapan abah dan ummi memang senantiasa berbentuk motivasi. Ringan bunyinya tapi besar maknanya. Bukan menegah keras, tapi menyambut beralaskan syarat-syarat tersendiri. Inilah cantiknya adat melayu. Lebih tampak jelas kiasannya jika bicara soal jodoh. Pada hematku, senyuman dan gurauan mereka sudah cukup untuk membuktikan penerimaan bakal teman hidupku dengan sepenuh hati mereka.

Namun, rasa takut sering hadir saat aku sendirian. 'Mampukah aku membawa diri dengan sebenar-benar bersendirian? Lebih berat dari itu, berdayakah aku memikul dan menjaga amanah suci pemberian Allah? Lebih hebat dari itu, adakah aku mampu memabahagikan rasa kasih dan cinta ini sebaik-baiknya?' Sebagai lelaki, aku adalah si anak kepada ibu dan bapaku. Dalam pada itu, aku juga mesti menjadi da'ie. Manakala kelak berkemungkinan aku seorang suami dan jika diizinkan, aku seorang ayah. Ya Allah, beratnya tugasku sebagai lelaki.

"Barangsiapa yang pada pagi hari menjadikan kedua-dua orang tuanya redha kepadanya tapi menjadikan aku murka, maka Aku turut redha kepadanya. Dan barangsiapa yang menjadikan Aku redha kepadanya tetapi menjadikan kepada kedua-dua orang tuanya murka, maka Aku juga murka kepadanya." Demikian salah satu kata-kata Allah dalam sebuah Hadis Qudsi. Manakala dalam surah An-Nisa' ayat 36, "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatu pun serta berbuat baiklah kepada kedua-dua orang tuamu."

Apa yang dapat kita simpulkan dari ayat-ayat Allah di atas adalah, seolah-olah Allah meletakkan cinta dan redhaNya kepada ayah dan ibu kita. Jika baik layanan kita pada ayah dan ibu, maka secara langsungnya baik juga layanan kita pada Allah. Jika sebaliknya yang kita lakukan kepada ayah dan ibu walaupun layanan kita kepada Allah adalah yang terbaik, nescaya Allah turut murka pada kita. Maka tidak mustahil, seorang ahli ibadah boleh masuk neraka hanya kerana mengecilkan hati seorang ibu.

Kita pernah diceritakan dalam satu riwayat tentang Alqamah. Seorang sahabat Nabi yang kuat mengerjakan amal ibadah. Siang dan malamnya sentiasa dipenuhkan dengan solat dan berzikir kepada Allah tanpa rasa jemu. Namun saat kematiannya cukup tragis. Jenazah beliau hampir-hampir dibakar dengan kayu api. Rasulullah menyuruh sahabat-sahabat yang lain mengumpulkan kayu untuk membakar jenazah Alqamah disebabkan ibu Alqamah tidak mahu memaafkannya. Atas rasa kasih, hati ibu telah segera memaafkan anaknya. Maka selamatlah jenazah anaknya disemadikan.

Sebelum Rasulullah mengarahkan sahabat-sahabatnya mengumpulkan kayu api, Rasulullah bertanya kepada ibu Alqamah. "Apakah yang menjadi sebab kamu terlalu murka sehinggakan tidak dapat memaafkan anakmu sendiri?"

Ibu Alqamah menjawab, "Ini kerana dia lebih mementingkan isterinya daripadaku dan dia menurut kata-kata isterinya sehingga dia menentangku." Rasulullah berkata" Jelaslah, kemurkaanmu yang mengunci lidah anakmu dari mengucapkan kalimah Syahadah."

Cerita lagenda melayu turut memutarkan cerita yang lebih kurang sama. Watak Alqamah diubah kepada Si Tanggang. Cinta Si Tanggang kepada harta dan isterinya terlalu kuat sehingga sanggup 'membuang' seorang ibu dalam hidupnya. Cuma bezanya kisah Alqamah dengan Si Tanggang, ibu Si Tanggang tetap tidak rela memaafkan anaknya. Lalu mengangkat tangan berdoa kepada Allah supaya dihukum anaknya setimpal dengan perbuatannya. Kisah itu berakhir dengan Si Tanggang ditimpa azab dengan bertukar menjadi batu. Si Tanggang mati terhina akibat derhaka kepada ibunya.

Walaupun berbeza jalan ceritanya, matlamat dua kisah di atas tetap mempunyai persamaannya. Ia berkisar tentang teologi cinta ataupun Prosedur Cinta. Maksudnya, cinta yang pertama perlulah kepada Allah, kemudian kepada Rasul Allah, seterusnya mencintai jihad dan seterusnya pula kepada kedua ibu bapa. Soalan timbul, di mana letaknya cinta kepada isteri?

Dunia hari ini telah membawa kepada susunan prosedur cinta yang tidak tersusun. Ada yang lebih mencintai harta kekayaan dan ada pula yang cinta pada darjat kebesaran. Selainnya, cinta pada wanita turut menjadi permasalahan utama bagi manusia yang bernama lelaki. Cinta kepada isteri telah membawanya jauh mengatasi cinta pada Allah dan Rasul. Jika isteri, mungkin tidak nampak besar silapnya. Bagaimana jika wanita tersebut belum lagi bergelar isterinya? Kemahuan wanita itu telah mempertaruhkan jasad dan nyawa si lelaki. Aqidah dan Syariat tak diendahkan, asalkan dapat mencurahkan sepenuh kasih dan cinta kepada wanita tersebut.

Hal-hal sebeginilah yang membuatkan aku berada dalam dilema. Aku bukan khuatir ketidak redhaan abah dan ummi untuk menerimanya menjadi suri dalam hidupku, tetapi aku takut akan redha mereka setelah sempurna lafaz sakinah. Hidup dan matiku kelak masih kekal dalam 'genggaman' kuasa Allah. Maka dengan sebab itu aku risau jika kelak kisah Alqamah mahupun si tanggang akan terpalit padaku. Hari ini, aku boleh meyakini bahawa aku tidak akan mengguris hati abah dan ummi, tapi kisah hidupku akan datang hanya Allah yang tahu. Apakah aku 'Alqamah' alaf baru? atau 'akukah Tanggang?'

Buatmu bakal zaujahku...

Dengarlah bisik hatiku ini yang berlagu syahdu memeluk sutera kasihmu. Aku sedar akan hakikat diriku yang lemah tiada daya, hina tiada upaya. Oleh kerana itu, aku tidak mampu untuk menentukan siapa yang terbaik buatku. Siapa buat dirimu dan siapa pula buat diriku, hanya Allah yang tahu.

Wahai kekasihku, jika engkau yang hadir padaku kelak sudah pasti akanku curahkan kasih dan cintaku padamu. Tapi aku ingin kau tahu bahawa aku punya tugas yang masih belum terlaksana. Bukan aku ingin melepaskanmu, tapi aku ingin engkau bersamaku dalam melangsaikan hutang-hutangku. Aku masih berhutang pada Allah, jua pada Rasulullah. Aku berhutang pada usaha jihad yang menjadi suruhan Allah dan RasulNya. Dan, aku ingin kau mengerti bahawa penerimaanmu dalam hidupku adalah atas redha Abah dan Ummiku. Aku juga tahu, penerimaanku dalam hidupmu juga atas redha Ayah dan Mamamu. Alhamdulillah...ini bererti kita bakal disatukan atas cinta dan redha Allah.

Maka, fahamlah dirimu bahawa aku perlu memberikan anugerah cinta yang wujud dalam diriku ini, mengikut susunan prosedur cinta yang sebenar. Jika engkau benar-benar cinta padaku, engkau harus berjanji padaku untuk setia bersamaku menjadi teman perjalananku. Sekiranya aku cinta pada Allah dan Rasul, maka aku ingin engkau jua cinta pada Allah dan Rasul sebagaimana yang telah aku laksanakan. Manakala apabila aku cinta akan jihad dan perjuangan, aku mohon engkau setia menjadi sayap kiriku untuk terus menyalurkan semangat kepadaku.

Dan akhirnya, jika aku mencintai abah dan ummi, aku berharap cintamu pada mereka tak ubah sepertimana cintamu pada ayah dan mama. Jangan engkau mengurangi sedikit pun rasa kecintaan antara mereka. Apabila engkau sudi menerima segala permintaanku, aku menerimamu dengan sepenuh hatiku. Akanku mahkotakanmu sebagai ratu di mahligai kasihku.

Wahai bakal zaujahku... sekiranya aku sendiri yang melanggar segala syarat dan permintaanku, maka aku membuka peluang kepadamu untuk menegur setiap kesalahanku. Kembalikanlah aku semula pada landasan Iman dan Islam. Jangan engkau membiarkan aku hanyut dalam dosa. Sambutlah tanganku apabila aku terjerumus dalam jurang nafsu jika engkau benar-benar cinta padaku. Selebihnya, aku serahkan pada Allah untuk menghukumku.
Wallahua'lam... 

Ranking: 5

{ 0 ulasan... read them below or add one }

Post a Comment

Terima kasih kerana memberi komen. Sila datang kembali ya !

Kami akan cuba membalas komen anda secepat yang mungkin.

 
© BLOG BUDAK BAEK All Rights Reserved